
Sharifah Munirah Alatas berkata, walaupun organisasi ranking seperti QS World University Rankings, Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities mendakwa ia mengejar kecemerlangan akademik di peringkat global, hakikatnya ia adalah perniagaan yang mencari keuntungan daripada universiti yang mengambil bahagian.
“Saya akan katakan ini adalah suatu pemaksaan sistem ekonomi neoliberal yang kita terima secara membuta tuli,” katanya pada satu sesi panel minggu lalu sempena pelancaran buku Ivory Tower Reform: A Vision for Higher Education in Malaysia suntingannya.
Sharifah Munirah berkata, walaupun tidak salah bagi universiti di Malaysia untuk menyertai ranking terbabit namun penyertaan itu dibuat tanpa mempersoalkan bagaimana ia mempengaruhi cara pengajaran, pemilihan bahan bacaan dan penetapan sistem pemarkahan.
Menurutnya, walaupun beliau pernah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya meninggalkan ranking dan mekanisme penilaian alternatif diteroka, tiada perkembangan lanjut setakat ini.
“Banyak universiti di Barat telah memisahkan diri daripada ranking. Namun kita tidak mencontohi mereka,” katanya.
Permainan universiti
Seorang lagi ahli panel, ahli akademik Sarah Wijesinghe, berkata ranking telah menjadi satu permainan bagi universiti yang terlibat.
Beliau berkata sebuah universiti tertentu, yang tidak dinamakan, telah menubuhkan pasukan khas untuk ranking QS, lengkap dengan bajet besar bagi mendapatkan data terperinci tentang cara bersaing.
“Ia hanya soal siapa yang mempunyai lebih banyak wang dan siapa yang boleh memanipulasi sistem ini untuk memperoleh ranking lebih tinggi,” tambahnya.
Keuntungan daripada penerbitan jurnal
Seorang ahli akademik, Adli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata penerbitan jurnal akademik juga telah menjadi satu kegiatan mengaut keuntungan.
Adli, yang turut menyunting buku berkenaan, berkata penerbit seperti Elsevier dan lain-lain mengenakan bayaran sehingga RM1,000 kepada ahli akademik untuk menerbitkan karya mereka.
Beliau juga mendakwa penerbit tersebut tidak membayar ahli akademik yang menilai artikel. “Kami tidak menerima satu sen pun. Mungkin kami dapat sepucuk surat penghargaan, kemudian mereka mengenakan caj ratusan atau ribuan ringgit kepada orang lain untuk menerbitkan karya mereka,” katanya.