Upko serah pimpinan PH Sabah selesai isu pengerusi

Upko serah pimpinan PH Sabah selesai isu pengerusi

Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang berkata kedudukan Presiden Ewon Benedick akan diketahui dalam kenyataan bersama rakan komponen.

PKR Sabah mahu jawatan pengerusi PH Sabah wajar dipegang parti itu tanpa perlu dipertandingkan menurut formula dipersetujui semua komponen, bukan Presiden Upko Ewon Benedick.
PETALING JAYA:
Upko menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menyelesaikan kemelut jawatan pengerusi negeri.

Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang, berkata pimpinan PH Sabah juga akan membincangkan perkara itu hari ini dan akan membuat kenyataan bersama.

“Ketua-ketua parti PH Sabah akan buat kenyataan bersama nanti,” katanya ringkas kepada FMT.

Sementara itu, Setiausaha Agung Upko Nelson Angang ketika dihubungi turut memaklumkan perkara sama.

Bagi bekas Presiden Upko Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, kemelut perebutan jawatan pengerusi PH Sabah tidak sepatutnya berbangkit kerana pemilihannya sudah selesai.

Beliau berpandangan rasa tidak puas hati akan berlaku dalam mana-mana gabungan dan ia perkara biasa.

“Ini (jawatan pengerusi PH Sabah) sudah selesai dalam pemilihan. Biasalah yang tidak puas hati ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, PKR Sabah mahu jawatan pengerusi PH negeri dipegang pemimpin parti itu, tanpa perlu dipertandingkan menurut formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen, bukan Presiden Upko Ewon Benedick seperti diputuskan pemilihan, bulan lalu.

Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud, berkata pihaknya sudah mengemukakan pendirian itu, selain laporan berkait untuk dipertimbang Majlis Presiden PH pada mesyuarat akan datang.

Katanya, berkemungkinan ada “kesilapan teknikal” dan “kekeliruan dasar”.

Pada 5 Jan, Nelson mempertahankan pemilihan presidennya sebagai pengerusi PH negeri susulan tiada bantahan mahupun pertikaian dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.