Muhyiddin bernostalgia era Covid, Hamzah calon terbaik terajui Bersatu

Muhyiddin bernostalgia era Covid, Hamzah calon terbaik terajui Bersatu

Saifuddin Abdullah yang dipecat Bersatu dakwa timbul iri hati pihak tertentu selepas PAS cadang dan sokong Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata Hamzah Zainudin tiada kem dan tidak pernah menyebut untuk melawan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bukan sahaja tidak serius memimpin dasar besar Perikatan Nasional (PN), malah terus bernostalgia ketika memimpin negara era Covid-19.

Walaupun mengakui sumbangan besar Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri, Saifuddin yang dipecat Bersatu menyifatkan bekas pengerusi PN itu hilang faktor memimpin parti tersebut susulan masalah yang timbul pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) tahun lalu.

“Beliau tidak menunjukkan komitmennya memimpin PN, contohnya dalam isu Perlis. Beliau juga tidak serius memimpin dasar-dasar besar PN menjelang PRU16 dan untuk masa depan negara.

“Asyik cerita zamannya sebagai perdana menteri dan berjaya menangani Covid-19. Ini semua orang tahu. Beliau masih bernostalgia. Sedangkan kita sepatutnya memerah minda untuk masa depan,” katanya dalam wawancara Mingguan Malaysia.

Dalam pada itu, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendakwa timbul iri hati pihak tertentu terhadap Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin selepas Ahli Parlimen Larut tersebut dicadang dan disokong PAS sebagai ketua pembangkang.

“Kemudian timbul fitnah kononnya Hamzah akan lawan presiden. Malahan, pernah ada ura-ura memecat Hamzah sebagai setiausaha agung (jawatan Hamzah sebelum menjadi timbalan presiden).

“Sepanjang saya mengenali Hamzah, beliau tidak pernah menyebut untuk melawan presiden. Sebagai SUA, beliau amat banyak berkorban untuk parti,” katanya.

Saifuddin berkata, Hamzah tidak mempunyai kem sambil menyifatkannya ramah dan mudah berkawan.

“Suka menolong orang. Tiada protokol. Sesiapa sahaja boleh ke pejabatnya. Maka, logiklah ramai yang bertemu dan menyukainya…Hamzah dipilih timbalan presiden tanpa bertanding. Jadi, dari mana datangnya perpecahan?” katanya.

Beliau menegaskan, Hamzah layak mengemudi Bersatu kerana prestasi cemerlang menjadi timbalan presiden, bekas SUA Bersatu, timbalan pengerusi PN, dan ketua pembangkang.

“Hubungannya dengan semua parti komponen PN dan pihak-pihak luar yang berkaitan adalah baik. Beliau tidak meminta, tapi saya yakin beliau mampu menjadi antara pemimpin utama apabila PN membentuk kerajaan nanti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.