
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, SG4 sebelum ini digambarkan sebagai model pentadbiran yang ingin ditampilkan PAS bagi membuktikan keupayaan termasuk jika diberi mandat di peringkat persekutuan pada masa depan.
“Namun, realitinya kini berbeza. Dengan Bersatu menguasai Perlis, SG4 tidak lagi wujud dalam bentuk asalnya.
“Kini lebih tepat digelar ‘SG3+1’ memandangkan tiga negeri masih diterajui menteri besar PAS manakala satu negeri lagi tidak disertai secara langsung oleh PAS dalam pentadbiran,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk situasi di Perlis selepas PAS menolak menyertai pentadbiran negeri itu susulan krisis politik menyaksikannya kini diketuai Bersatu.
Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, menggantikan Adun Sanglang, Shukri Ramli yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan. Bagaimanapun, sebelum itu, lapan Adun Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga daripada PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) tidak menyokong Shukri.
Zaharuddin, perunding kanan Global Asia Consulting turut berkata tindakan PAS mungkin beri kesan kepada hala tuju dan kredibiliti SG4, terutama jika terus dipromosikan sebagai bukti keupayaan PAS mentadbir secara kolektif.
“Selagi isu kepimpinan dan kesepakatan tidak diselesaikan, SG4 sukar dilihat sebagai model pentadbiran stabil dan boleh dikembangkan ke peringkat nasional,” katanya.
SG4 merujuk kepada kerjasama empat negeri yang sebelum hujung tahun lalu ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad turut dilantik sebagai penasihat SG4, dengan peranan tidak rasmi termasuk membantu menghubungkan gabungan itu dengan pelabur luar negara, khususnya dari Jepun dan Korea Selatan.
Sebuah entiti korporat dikenali SG4 Group Sdn Bhd turut ditubuhkan bagi membolehkan negeri terlibat berkongsi hasil kekayaan dan keuntungan, dengan setiap daripadanya memegang pegangan saham sebanyak 25%.
Sementara itu, Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya turut senada yang ketiadaaan wakil PAS dalam kerajaan Perlis akan melemahkan SG4.
“Mungkin boleh berkubur dan insiatifnya hanya tinggal kenangan, malah sehingga kini SG4 belum tunjuk hasil, jauh beza dengan lima koridor pembangunan dibangunkan kerajaan persekutuan sebelum 2008.
“Negeri ditadbir pembangkang juga mendapat manfaat besar daripada perancangan wilayah yang tepat dan berstrategi,” katanya.