Gerakan mahu pengerusi PN sederhana untuk menang PRU, kata Lau

Gerakan mahu pengerusi PN sederhana untuk menang PRU, kata Lau

Presiden Gerakan akui kekuatan PAS namun tidak melihat jawatan itu mesti diisi parti memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak.

dominic lau
Presiden Gerakan Dominic Lau berkata partinya mahu pengerusi PN dipilih daripada pemimpin sederhana, terangkum, dan diterima semua lapisan masyarakat.
PETALING JAYA:
Pemilihan pengerusi Perikatan Nasional (PN) mesti mempunyai kemampuan membawa gabungan itu menang PRU16, kata Presiden Gerakan Dominic Lau sambil menegaskan partinya terbuka menerima wakil sama ada daripada PAS atau Bersatu.

Walaupun Lau mengakui kekuatan PAS dengan 43 Ahli Parlimen, namun tidak melihat jawatan tertinggi itu diisi parti memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak, sebaliknya kemampuan pemimpin tidak kira daripada parti mana.

Sebaliknya, beliau menegaskan individu itu perlu sederhana, terangkum, dan diterima semua lapisan masyarakat.

“Sesiapa pemimpin yang boleh menyatukan semua komponen parti, boleh memimpin semua lapisan rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan mendapatkan mandat untuk kemenangan PN, pemimpin itu layak untuk memimpin PN.

“Kita lebih fokus kepada pemimpin yang boleh memimpin PN untuk memenangi PRU yang akan datang,” katanya menurut Berita Harian di Bayan Lepas.

Pada 1 Jan, Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN.

Dalam pada itu, beberapa isu teknikal termasuk kekosongan jawatan setiausaha agung PN yang sebelum ini disandang Azmin Ali perlu diteliti secara perundangan bagi memastikan semua proses dilaksanakan mengikut perlembagaan.

“Kita harap isu kepimpinan ini dapat diselesaikan secara muafakat melalui perbincangan dalam kalangan presiden parti komponen tanpa perlu berlarutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.