PN sebagai gabungan setara tak realistik, kata penganalisis

PN sebagai gabungan setara tak realistik, kata penganalisis

Penganalisis sifatkan kelangsungan politik di Malaysia memerlukan sebuah parti kuat menerajui gabungan itu.

pas
Akademik dari UTM berkata, ketegasan ideologi PAS menjadikannya mustahil untuk melihat kesamarataan dalam kalangan rakan komponen.
PETALING JAYA:
Idea Perikatan Nasional (PN) berfungsi sebagai gabungan parti setara tanpa parti dominan ‘terlalu idealistik’ dan sukar dilaksanakan dalam politik negara, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata gabungan politik di Malaysia biasanya memerlukan satu parti dominan untuk bertahan, dengan masalah teras PN terletak kepada dua pusat kuasa yang bersaing – PAS dan Bersatu.

“Gabungan terbaik adalah gabungan mempunyai satu sahaja parti dominan. Namun, masalah dengan PN adalah mereka mempunyai dua parti dominan.

“Untuk memberikan kedudukan sama rata kepada parti-parti adalah terlalu idealistik. Jika anda mahu bertahan dalam senario politik Malaysia, anda memerlukan satu parti tunggal yang kuat sekali gus memacu gabungan itu ke hadapan,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, PAS sepatutnya menjadi parti dominan dalam PN menerusi pelantikan kepengerusian yang kuat sebagai faktor penting menjamin kestabilan.

Beliau berkata, masalah PN sebelum ini kerana bekas pengerusinya, Muhyiddin Yassin, bukan berasal daripada parti dominan, sebaliknya Bersatu. “Jawatan nombor satu dan dua kedua-duanya dikuasai Bersatu, yang mana tidak praktikal untuk jangka masa panjang,” katanya.

Selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai pengerusi pada 1 Jan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa baru-baru ini dilaporkan menyeru dilakukan transformasi terhadap struktur kepimpinan PN supaya ia menjadi lebih inklusif, fleksibel, dan progresif.

Beliau berkata, PN boleh memperkenalkan ‘model organisasi lebih inklusif di mana semua pemimpin parti komponen berada pada kedudukan yang sama rata, dan keputusan dibuat secara kolektif melalui perundingan dan konsensus’.

Dalam pada itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata kesamarataan dalam kalangan parti komponen PN disifatkan mustahil memandangkan ketegasan ideologi PAS.

“Konsep kesamarataan antara parti-parti politik dalam PN tidak realistik, terutamanya apabila melibatkan parti konservatif seperti PAS yang sangat komited terhadap ideologinya,” katanya.

Mazlan berkata, cadangan Annuar hanya akan menarik minat segmen masyarakat yang terhad, terutamanya golongan kelas menengah dan kumpulan masyarakat sivil.

Beliau turut mempersoalkan kesesuaian ideologi Annuar dalam PAS. “Saya rasa beliau bukan ahli PAS yang sebenar. Pemikiran beliau sangat progresif, tapi tidak sesuai dengan budaya politik PAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.