PAS gesa undang-undang Syariah lebih tegas, tutup kegagalan ekonomi, kata penganalisis

PAS gesa undang-undang Syariah lebih tegas, tutup kegagalan ekonomi, kata penganalisis

Awang Azman Pawi dari UM berkata, amalan seperti itu mampu memaut penyokong konservatif PAS yang memandang penting isu moral.

Mohd Affendi Awang
Affendi Awang, 42, disebat enam kali di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Jumaat lalu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Penganalisis meramalkan bahawa PAS akan memperkenalkan undang-undang Syariah lebih tegas di masa akan datang untuk mengalihkan pandangan daripada pertumbuhan ekonomi lembap di negeri pimpinannya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pelaksanaan hukuman sebat terhadap seorang lelaki di khalayak ramai di Terengganu, baru-baru ini, merupakan ‘taktik’ parti itu untuk mengukuhkan sokongan akar umbi konservatif.

“Mereka nampaknya tidak mempunyai idea mengenai cara membangunkan atau mengukuhkan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Affendi Awang, 42, yang sudah beberapa kali didapati bersalah berkhalwat, disebat enam klali di depan 90 saksi di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Hukuman itu dikritik pelbagai kumpulan, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan G25, kumpulan pegawai kerajaan bersara.

Awang Azman berkata, pelaksanaan hukuman itu mampu memaut pangkalan penyokong konservatif PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, di mana isu moral dipandang penting oleh pengundi.

“PAS memahami bahawa pelaksanaan hukuman sebat di khalayak tidak membawa makna untuk pengundi di Kuala Lumpur atau bahagian lain di Semenanjung, tetapi menjadi isu penting untuk pangkalan penyokong di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Katanya, tindakan itu satu strategi terhitung bagi memastikan kesetiaan pengundi tegar menjelang PRU akan datang yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2027.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata, PAS bersungguh-sungguh mahu mengukuhkan sokongan pengundi Melayu untuk mengekalkan kejayaannya di negeri yang majoriti pengundinya dari golongan itu. Parti itu menunjukkan prestasi amat baik Terengganu apabila menang semua 32 kerusi negeri dipertaruhkan.

“PAS tidak boleh kalah (di empat negeri utara) atau dilemahkan,” katanya.

Menurutnya, parti itu dipaparkan sebagai pejuang utama Melayu dan Islam, termasuk dengan menentang penglibatan orang Islam dalam sambutan Krismas.

Pada Ahad, PAS mengancam tindakan perundangan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana ‘tohmahan dayus’ dan ‘fitnah jahat’ selepas pemimpin DAP itu mengkritik bantahan parti berkenaan terhadap majlis sempena Krismas diadakan kementeriannya.

“PAS berkemungkinan mengekalkan strateginya. Walaupun ada cadangan bahawa PAS perlu memenangi hati pengundi bukan Melayu, parti itu masih belum bergerak ke arah itu,” katanya.

Negeri PAS bergantung kepada dana persekutuan

Sementara itu, sumber di Pejabat Perdana Menteri mendedahkan bahawa keempat-empat negeri pimpinan PAS kerap meminta dana persekutuan tambahan untuk menampung defisit belanjawan.

“Kami juga menerima permohonan pendanaan dari negeri lain, tetapi lebih banyak diterima dari Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada FMT.

Yeah Kim Leng
Yeah Kim Leng.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng berkata, negeri pimpinan PAS sangat bergantung kepada sumber asli seperti cukai balak dan tanah, yang membangkitkan kebimbangan mengenai kelesterian dan daya maju ekonomi untuk jangka panjang.

“Negeri ini kebanyakannya beroperasi dengan defisit kewangan berbanding Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang yang mempunyai belanjawan lebihan,” katanya.

Menurutnya, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mesti mengambil langkah mempelbagaikan ekonomi dengan memfokuskan terhadap pengindustrian serta pelancongan bagi menjana hasil yang mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.