Kritikan kamu bukan halangan, PAS beritahu pemimpin Bersatu

Kritikan kamu bukan halangan, PAS beritahu pemimpin Bersatu

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari ulas kritikan Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan Mahathir Rais mengenai himpunan solidariti Najib Razak.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan Mahathir Rais berhak nyatakan pandangan.
PETALING JAYA:
PAS tidak menganggap kritikan pemimpin Bersatu berhubung perhimpunan diketuai parti itu untuk menyokong Najib Razak pada 6 Jan ini sebagai halangan kerana semua pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata parti itu juga meraikan perbezaan pandangan yang datang daripada rakan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Soal ada pimpinan Bersatu kritik, ia tidak jadi halangan kerana semua orang berhak suarakan pandangan, PAS meraikan perbezaan pandangan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais, mengkritik sekutunya itu yang mahu berhimpun menyokong Najib minggu depan di luar Istana Kehakiman, Putrajaya.

Beliau yang juga setiausaha PN Wilayah Persekutuan berkata, sabitan dan hukuman 12 tahun Najib dalam kes SRC International menjadi peristiwa penting bagi Malaysia, dan menyifatkan perhimpunan sebagai solidariti terhadap bekas perdana menteri itu adalah mengecewakan.

Sementara itu, Fadhli enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Mahathir kerana ia bukan daripada pemimpin pusat.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pemimpin dan ahli parti bebas menyertai perhimpunan itu atas semangat ‘perdamaian nasional’.

Mengulas lanjut, Fadhli berterima kasih atas kenyataan Tun Faisal kerana memahami PAS.

Ditanya mesej ingin disampaikan di sebalik himpunan itu, Fadhli berkata pihaknya menyanjung keluhuran perlembagaan.

“(Kami juga) mengutamakan agenda keadilan menurut hak yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya.

Anak lelaki Najib, Nazifuddin sebelum ini berkata lebih 200 bas membawa penyokong bapanya akan menghadiri perhimpunan menyokong bekas perdana menteri.

Beliau berkata perhimpunan itu akan menyaksikan ahli PAS, Umno dan Bersatu bersama memperjuangkan kebebasan ‘Bossku’.

Perhimpunan itu diadakan pada hari Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah, yang didakwanya dikeluarkan dalam perintah tambahan kepada pengumuman Lembaga Pengampunan pada 2 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.