
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata kenyataan Kiandee mungkin menunjukkan PN masih kukuh dan anggota gabungan bersedia bekerjasama.
Namun jelasnya, kenyataan itu akan lebih berimpak jika dibuat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dilihat ingin mengekalkan jawatan pengerusi PN.
“Bagi saya, ia sedikit terlambat. Perkara ini tidak akan jadi isu kalau Bersatu tak tergesa-gesa umum calon perdana menteri?” kata Syaza kepada FMT merujuk usul Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 7 Sept lalu.

Perhimpunan itu sebulat suara menyokong dan meluluskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11.
Sabtu lalu, Kiandee berkata beliau tiada masalah dengan PAS yang berpotensi menerajui PN susulan pengalamannya ketika menganggotai Jemaah Menteri bersama parti terbabit dari 2020 hingga 2022.
Pada 16 Sept lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu sedia menerajui PN sebelum PRU16, selepas perwakilan muktamar tahunan PAS sebulat suara meluluskan usul terbabit.
Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula menyifatkan kenyataan Kiandee berpotensi mencetuskan persaingan kepimpinan dalam gabungan itu.

Azmi berkata rujukan Kiandee terhadap pengalaman PAS dalam kerajaan lalu sebagai ‘bukti’ turut membawa nada sinis sedangkan parti Islam itu telah pun memerintah empat negeri ditadbir PAS atau SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
“Hakikatnya PAS menerajui negeri SG4 dan Bersatu tiada negeri, itu sudah cukup membuktikan mereka mempunyai kekuatan.
“Jadi dalam hal ini, kenyataan Kiandee ini bukan akan meredakan keadaan tetapi membangkitkan semangat PAS untuk membuktikan PN memerlukan kepimpinan PAS untuk menjadi lebih kuat,” katanya.