Tiada keputusan setakat ini mengenai kenaikan tarif elektrik, kata TPM

Tiada keputusan setakat ini mengenai kenaikan tarif elektrik, kata TPM

Fadillah Yusof malah berkata, Petra tidak dirujuk mahupun dimaklumkan oleh TNB berkaitan pengumuman kenaikan tarif elektrik di Semenanjung.

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof berkata, semakan tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.
KUALA LUMPUR:
Tiada sebarang keputusan mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dibuat sehingga kini, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, kementeriannya tidak dirujuk atau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkaitan pengumuman kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.

“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka dilaksanakan bermula Julai 2025.

Fadillah berkata, semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.

Beliau juga berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

TNB memaklumkan Bursa Malaysia semalam bahawa jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan masih pada peringkat cadangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.