Krisis tenaga global: Kebersamaan kerajaan dan rakyat kunci depani cabaran

Krisis tenaga global: Kebersamaan kerajaan dan rakyat kunci depani cabaran

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata usaha bersama dan kerjasama erat jadi kunci utama untuk Malaysia kekal stabil mengharungi cabaran itu.

Fadillah Yusof beri jaminan bekalan petroleum negara kekal mencukupi melalui pemantauan harian bersama Petronas.
PETALING JAYA:
Rakyat dan komuniti perniagaan diseru bersama kerajaan dalam menghadapi krisis tenaga global yang kini memberi tekanan hebat kepada ekonomi dunia susulan konflik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata usaha bersama, disiplin dan kerjasama erat menjadi kunci utama untuk Malaysia kekal stabil mengharungi cabaran itu.

Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata kerajaan akan terus memastikan bekalan terjamin, bekerjasama rapat dengan industri dan membendung tekanan kenaikan harga sedaya upaya.

“Namun, kejayaan kita dalam mengharungi krisis ini juga bergantung kepada peranan semua pihak.

“Saya menyeru kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk bersama kerajaan dalam menggunakan tenaga secara berhemah, mengelakkan pembaziran, dan memastikan setiap penggunaan adalah perlu dan efisien.

“Dalam menghadapi cabaran global seperti ini, kekuatan kita terletak pada disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama,” katanya pada taklimat krisis tenaga global.

Jaminan bekalan dan harga terkawal

Fadillah memberi jaminan bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil melalui pemantauan harian bersama Petronas selain penyediaan pelan kontingensi.

“Ia termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku.

Beliau turut menegaskan komitmen Putrajaya untuk melindungi rakyat daripada lonjakan harga melampau.

“Harga RON95 bersubsidi dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilakukan secara terkawal dan berperingkat,” katanya.

Fadillah berkata perlindungan terus diberikan melalui kepada sektor utama seperti melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada harga RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam manakala RM2.15 seliter bagi pengangkutan darat barangan.

“Bantuan tunai bulanan RM300 BUDI Diesel juga diberikan kepada pemandu kenderaan diesel yang layak.

“Selain itu, sektor yang bergantung kepada penggunaan bahan api untuk kelangsungan pendapatan seperti nelayan dan agri-komoditi juga menerima bantuan diesel,” katanya yang turut menjelaskan had Budi Madani RON95 (BUDI95) kekal 800 liter untuk p-panggilan.

Menurut Fadillah, langkah menghadapi krisis tenaga global turut meliputi langkah penjimatan tenaga seperti pelaksanaan bekerja dari rumah bagi sektor awam bermula 15 April bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan kesesakan mobiliti harian.

“Kedua, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan dengan suhu penghawa dingin ditetapkan pada minimum 24 darjah Celsius.

“Penjawat awam juga digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyejukan berlebihan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.