Lelaki sumbang mahram anak dipenjara 15 tahun, 5 sebatan

Lelaki sumbang mahram anak dipenjara 15 tahun, 5 sebatan

Penoreh getah berusia 52 tahun itu dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

jail
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya berusia 11 tahun. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya berusia 11 tahun, pada 2019.

Tertuduh berusia 52 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati melakukan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang berusia 11 tahun ketika kejadian yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8 malam hingga 12 tengah malam antara Jun sehingga Disember 2019 di dalam bilik di sebuah rumah di Tampin.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Hafiz Leman memohon dikenakan hukuman penjara minimum bermula dari tarikh tangkapan dengan mengambil kira faktor umur.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dan mengambil kira faktor kesalahan berat yang dilakukan tertuduh sebagai seorang bapa.

“Pengakuan salah bukan faktor peringanan, tertuduh sebagai bapa sifatnya melindungi tetapi telah mengambil kesempatan (terhadap anak) dan mohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Surita kemudiannya mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Jan 2020 selain diperintahkan menjalani pengawasan polis setahun selepas tamat hukuman serta kaunseling pemulihan dua tahun dalam tempoh hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.