
Hakim Norma Ismail mensabitkan Razali atas kesalahan itu selepas memutuskan bahawa beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dalam pembelaannya.
Beliau turut memerintahkan Razali menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Adun Kijal itu didakwa atas satu pertuduhan menghasut berhubung kenyataan yang dibuatnya semasa program PRK di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, pada 10 Nov 2023.
Beliau didakwa mempersoalkan perbezaan layanan yang diterima oleh Timbalan Perdana, Menteri Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah. Syed Saddiq pula disabitkan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan itu tahun lalu.
Semasa mitigasi, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon mahkamah hanya mengenakan denda ke atas Razali.
Beliau berkata video yang memaparkan Razali mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan itu telah dipadam tidak lama selepas dimuat naik di media sosial.
“Kenyataan tersebut tidak menyebabkan sebarang kesan ‘buruk’ kepada orang awam atau mana-mana pihak yang mendengarnya,” kata Awang Armadajaya.
Beliau juga berkata Razali akan hilang kelayakan sebagai Adun sekiranya mahkamah mengenakan denda melebihi RM2,000 atau menjatuhkan hukuman penjara melebihi setahun.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Razali, dengan berkata denda adalah tidak memadai.