Jurukimpal miliki bahan berkaitan Daesh dipenjara 4 tahun

Jurukimpal miliki bahan berkaitan Daesh dipenjara 4 tahun

Muhammad Fesool Haron, 35, didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 Mei lalu.

kl high court
Tertuduh, Muhammad Fesool Haron, 35, dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku salah memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku salah memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Jurukimpal, Muhammad Fesool Haron, 35, yang pernah dipenjara lima tahun pada 2017 atas tuduhan memberikan sokongan berkaitan keganasan, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh tangkapan iaitu pada 30 Mei lalu, menurut Berita Harian.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy selepas tertuduh mengekalkan pengakuan salah ketika pertuduhan dibacakan sekali lagi terhadapnya hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki satu rakaman video, 10 video dan lima tangkap layar berkaitan kumpulan Daesh dalam telefon bimbitnya di sebuah premis di kawasan perindustrian Kempas, Johor Bahru pada kira-kira 1.10 tengah hari, 30 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhurrazi Ahmad Salim yang mengendalikan pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan itu boleh menggugat keselamatan negara dan orang awam.

Bagaimanapun, peguam bela N Kanmani memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga dan sudah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.