Makmal forensik SPRM peroleh akreditasi Jabatan Standard

Makmal forensik SPRM peroleh akreditasi Jabatan Standard

Pengiktirafan akreditasi itu ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital SPRM menerusi Makmal Forensik Digital.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menerima sijil akreditasi daripada Pengarah Kanan Standardisasi Jabatan Standard Malaysia Hussalmizzar Hussain dalam majlis hari ini.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memperoleh Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia, selaras Pelan Strategik SPRM 2021-2024.

Pengiktirafan akreditasi itu ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital (BFT) SPRM menerusi Makmal Forensik Digital pada 13 Nov lalu bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pengiktirafan itu mencerminkan tahap profesionalisme pihaknya dalam memastikan makmal tersebut beroperasi berdasarkan keperluan ISO 17025:2017 yang merupakan standard antarabangsa untuk mengesahkan kompetensi makmal pengujian dan kalibrasi.

“Akreditasi MS ISO/IEC 17025 lebih daripada sekadar pengiktirafan. Ia merupakan tanda aras keupayaan teknikal Makmal Forensik Digital SPRM untuk menghasilkan keputusan analisis forensik yang tepat serta mematuhi aspek sistem pengurusan, pengesahan kaedah analisis, kawalan proses analisis dan kompetensi personal makmal.

“Dengan akreditasi ini, hasil analisis forensik digital kita bukan sahaja diperakui di Malaysia tetapi juga diiktiraf di peringkat global, membuka ruang untuk bekerjasama rentas sempadan dalam siasatan dan penyelidikan,” katanya dalam kenyataan.

Sijil itu disampaikan Pengarah Kanan Standardisasi Jabatan Standard Malaysia Hussalmizzar Hussain kepada Azam dalam majlis hari ini.

Akreditasi diperoleh BFT SPRM melibatkan empat skop iaitu forensik komputer, forensik audio video dan imej, forensik telefon bimbit serta forensik tulisan tangan pengubahsuaian dokumen dan ‘stamp impression’.

Azam berkata, dengan pencapaian itu BFT kini mempunyai mandat untuk memastikan semua proses analisis forensik digital berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

Akreditasi diterima Makmal Forensik Digital SPRM bukan sahaja mampu memberikan sokongan teknikal lebih baik kepada operasi siasatan tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan kebolehpercayaan di peringkat antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.