
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Azam berkata keputusan tersebut sebagai hasil usaha berterusan dan komitmen tinggi yang bermula sejak siasatan dilancarkan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya.
“Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Bagi SPRM, keputusan ini bukanlah satu detik untuk diraikan atau patut dibanggakan. Sebaliknya, ia mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan itu berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah.
“Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis.
Katanya, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme bantuan perundangan bersama.
Menurutnya, antara agensi yang berikan bantuan amat bernilai dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan; Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat; Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa, United Kingdom; Pejabat Peguam Negara Switzerland; Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura; serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.
Azam berkata profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai.