Mangsa banjir di Johor, Pahang berkurangan

Mangsa banjir di Johor, Pahang berkurangan

Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di Johor dan Pahang sedikit berkurangan malam tadi.

pps
Jumlah mangsa banjir di PPS di Johor dan Pahang sedikit berkurangan malam tadi, manakala di Perak kekal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Johor dan Pahang bertambah baik malam tadi dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit berkurangan manakala jumlah mangsa di Perak kekal.

Di Johor, jumlah mangsa di Segamat menurun kepada 40 orang daripada 12 keluarga dan masih berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak setakat 8 malam tadi, berbanding 85 orang daripada 26 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Johor Azmi Rohani memaklumkan penurunan disebabkan penutupan sebuah PPS iaitu Dewan Komuniti Kampung Tasek yang sebelum ini menempatkan 45 mangsa daripada 14 keluarga.

Beliau juga berkata Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat masih mencatatkan bacaan di paras amaran iaitu 8.82 meter yang melebihi paras normal 7.30 meter.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 41 orang dan ditempatkan di tiga PPS malam tadi, berbanding 58 petang tadi di empat PPS susulan penutupan sebuah PPS iaitu Masjid Kampung di Bera.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 30 orang daripada lapan keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh dan Balai Raya Kampung Seberang Guai di Bera, manakala 11 orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian di Maran.

Semakan di publicinfobanjir.water.gov.com mendapati Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini di Pekan merekodkan trend menaik dengan bacaan air 19.25 meter dan 15.05 meter yang melepasi paras bahaya.

Di Perak, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Manjung kekal 186 orang daripada 57 keluarga dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Beruas.

Sementara itu, Sungai Perak di Kuala Kenderong, Hulu Perak dan Sungai Mengkuang di Kampung Sungai Kuning, Larut Matang dan Selama masing-masing mencatatkan bacaan paras air 111.95 meter dan 20.14 meter iaitu melebihi tahap bahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.