Kebakaran saluran gas: 538 penduduk berlindung di PPS

Kebakaran saluran gas: 538 penduduk berlindung di PPS

JKM turut diarah buka beberapa pusat pemindahan sementara baharu.

mangsa gas bocor
120 keluarga berlindung di PPS yang dibuka di Masjid Putra Heights dan dewan serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 538 penduduk Putra Heights berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kebakaran saluran paip gas semalam.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara, mangsa daripada 120 keluarga. Mereka ditempatkan di Masjid Putra Heights dan dewan serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Angka setakat 12 tengah hari tadi itu merupakan peningkatan ketara berbanding 364 orang daripada 74 keluarga yang dipindahkan setakat 11 malam semalam.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat buka beberapa PPS baharu.

Beliau berkata mangsa di Masjid Putra Heights tidak boleh tinggal di sana untuk tempoh yang lama, maka lebih banyak PPS diperlukan.

“Kita akan berbincang dengan lebih lanjut, apa yang kita boleh lakukan,” katanya lapor Bernama.

Nancy memaklumkan trak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ditempatkan di PPS untuk pegawai kaunseling memberikan perkhidmatan kaunseling dan bantuan psikologi kepada mangsa.

Dalam pada itu, menteri memohon orang ramai dan organisasi menangguhkan hasrat memberikan bantuan makanan dan barangan kepada mangsa ekoran kekangan ruang untuk menempatkan barangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.