
Menurut sumber, lelaki dalam lingkungan 50-an itu direman lima hari sehingga Ahad ini, selepas Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuching pagi tadi.
Menurutnya, suspek merupakan rakan kongsi kepada pengarah syarikat yang ditahan SPRM Khamis lepas dan dipercayai berpakat serta berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan Pejabat Kerja Raya di sebuah daerah Sarawak.
“Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta.
“Susulan itu, suspek ditahan sekitar 6.30 petang semalam di sebuah daerah di Sarawak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Setakat ini, SPRM menahan tiga individu, termasuk seorang jurutera awam berhubung kes itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes itu.