
Ti berkata, ini bukan kesilapan pentadbiran kecil kerana penilaian dan kajian impak sedemikian merupakan ‘syarat asas bagi tadbir urus awam yang cekap’.
“Apabila berbilion dana awam dipertaruhkan, kegagalan bertanya soalan asas – siapa yang perlukannya, di mana ia patut ditempatkan, dan bagaimana kejayaan akan diukur – bukan sahaja cuai tetapi tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ti berkata, isu MyKiosk termasuk dalam ‘senarai panjang pertimbangan yang boleh dipertikaikan dan keutamaan yang tersasar’, termasuk arahan Nga tahun lepas untuk menukar empat tandas awam kepada tandas pintar, serta kebimbangan orang ramai berhubung Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Setiap episod tunjuk pola serupa – pembuatan keputusan yang tidak peka, asas dasar yang lemah dan reaksi susulan negatif orang ramai. Secara terkumpul, insiden-insiden ini menunjukkan bukan berlakunya kesilapan sekali dua, tetapi kelemahan berterusan dalam kecekapan kepimpinan.
“Apabila sesebuah kementerian berulang kali melaksanakan projek yang gagal memenuhi objektif, menarik dapatan audit negatif dan mendorong cadangan tadbir urus daripada SPRM sendiri, tanggungjawab tidak boleh dialihkan kepada pegawai bawahan atau pihak berkuasa tempatan sahaja.
“Tanggungjawab politik terletak pada menteri,” katanya.
Ti berkata, Nga harus meletak jawatan atas dasar akauntabiliti yang ‘memberi isyarat menghormati institusi, pembayar cukai dan prinsip bahawa kepimpinan menanggung akibat’.
“Keputusan terus memegang jawatan, walaupun berulang kali gagal dalam tadbir urus, berisiko menormalkan ketidakcekapan dan menghakis keyakinan awam terhadap reformasi kerajaan,” katanya.
Awal hari ini, SPRM berkata, ketiadaan penilaian keperluan dan mekanisme pemantauan hasil yang komprehensif, termasuk petunjuk prestasi utama (KPI), menyekat penilaian impak projek pada peringkat pihak berkuasa tempatan.
Suruhanjaya itu mengemukakan lima cadangan penambahbaikan tadbir urus kepada kementerian semalam, termasuk memasukkan hasil projek MyKiosk ke dalam KPI dan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau keberkesanan dan hasilnya.
Cadangan lain termasuk mempertingkatkan garis panduan inisiatif tersebut, meliputi perolehan, pengurusan dan pemantauan, serta mewujudkan garis panduan pelaksanaan projek dibiayai persekutuan yang lengkap sebagai rujukan.