
Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, saham itu juga diisytiharkan mengikut saluran rasmi, lapor New Straits Times.
Katanya, pengisytiharan termasuk sumber pendapatan dibuat menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Saya membuat pengisytiharan mengenai perkara ini termasuk sumber pendapatan. Semuanya dibuat secara telus,” katanya.
Azam turut menyifatkan laporan yang mempersoalkan urus niaga tersebut sebagai berniat jahat dan mengelirukan.
Beliau mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan laporan berunsur fitnah itu.
Bloomberg melaporkan pegangan saham Azam didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu dan namanya masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Berdasarkan harga saham syarikat pada penutupan dagangan Isnin, pegangan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.
Pekeliling kerajaan 2024 mengenai tatakelakuan pegawai awam menyatakan penjawat awam hanya boleh memiliki saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Pegawai awam juga diwajibkan mengisytiharkan aset mereka secara berkala.
Pendedahan itu mendorong respons beberapa pihak antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR Hassan Karim, yang menuntut penjelasan kerajaan dan Azam selain gesaan penamatan kontraknya.