Kementerian Pertahanan taja RM3 juta tingkat taraf akademik tentera

Kementerian Pertahanan taja RM3 juta tingkat taraf akademik tentera

Salah satu bidang kerjasama berkenaan ialah pembelajaran berasaskan kerja, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Majlis Tandatangan Nota Kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi
Menteri Pertahanan Khaled Nordin (belakang, kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir (belakang, kanan) menyaksikan penandatanganan Nota Kerjasama KPT-Mindef oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali dan Ketua Setiausaha KPT Zaini Ujang di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM3 juta untuk membiayai program pengiktirafan akademik tentera melalui nota kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, salah satu bidang kerjasama berkenaan ialah pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang memberi peluang kepada anggota tentera meningkatkan taraf akademik mereka.

“Anggota tentera rata-rata menyertai perkhidmatan dengan hanya kelayakan SPM,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama KPT-Mindef di Wisma Perwira.

“Melalui pengalaman dan kemahiran yang mereka peroleh sepanjang perkhidmatan, wajar mereka diiktiraf secara formal.”

Majlis itu turut dihadiri Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera Mohd Nizar Sudin dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Mohd Zahari Ismail.

Khaled selanjutnya berkata, setakat ini 10 program diploma telah dikenal pasti bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Antara diploma ditawarkan termasuk dalam bidang seni kulinari, pengurusan hotel, pendidikan Islam, teknologi pejabat, sains sukan dan rekreasi.

Menurutnya, inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada anggota tentera yang telah berkhidmat lebih 15 tahun, terutamanya mereka yang menamatkan perkhidmatan pada usia muda.

“Objektif kami adalah memastikan mereka bersara dengan kelayakan akademik lebih tinggi, sekaligus membuka peluang kerjaya kedua yang lebih baik,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata, program WBL ialah langkah kreatif yang memberi manfaat besar kepada anggota tentera untuk mengembangkan potensi mereka.

Pendekatan ini, katanya, mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota tentera, sejajar dengan visi Malaysia Madani.

“Selepas tamat perkhidmatan, mereka dengan pengalaman luas seharusnya diberi peluang untuk memanfaatkan kemahiran tersebut dalam kerjaya baharu,” katanya.

Selain WBL, kerjasama strategik ini turut melibatkan Program Komuniti Tertumpu yang memfokuskan pemindahan ilmu daripada institusi pengajian tinggi (IPT) kepada keluarga tertera melalui projek seperti hidroponik, akuaponik dan fertigasi.

“Program Komuniti Tertumpu ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga tentera, malah membantu suri rumah dan anak-anak mereka menjana pendapatan,” kata Khaled.

Di samping itu, Program Kolaborasi Industri (ICP) juga membuka ruang kepada IPT dan industri untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengukuhkan industri pertahanan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.