
Berucap pada penutupan Festival Idea Putrajaya (FOI), menteri pendidikan tinggi itu yang mengangkat sumpah sebagai senator pada Disember 2022 berkata beliau belum lagi mengetahui nasibnya.
Beliau berharap sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai menteri Kabinet tidak diketahui.
“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet atau pun tidak, itu soal nombor dua. Ini adalah agenda negara.
“PM (Anwar) senyum saja bagi isyarat, sebab saya pun tak lama dua tiga minggu ja lagi,” katanya berucap pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, Anwar ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut namun berseloroh: “Tolong bagi cadangan (kepada saya) kalau ada,” menjawab jika senarai Kabinet baharu telah ada.
Zambry yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Dis 2022 sebelum dilantik sebagai menteri luar negeri dan seterusnya sebagai menteri pendidikan tinggi.
Turut mengangkat sumpah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz.
Tengku Zafrul, satu-satunya senator yang berkhidmat selama dua penggal berbanding tiga yang lain.
Mengikut keterangan di laman sesawang Parlimen, tempoh mengisi jawatan bagi Ahli Dewan Negara adalah selama tiga tahun
Ahli itu hanya boleh dilantik semula sekali lagi sahaja, secara berturut mahupun tidak.
Kali pertama Anwar merombak Kabinet pada 12 Dis 2023.
Rombakan terbaharu diperlukan bagi mengisi dua kekosongan ditinggalkan oleh Rafizi Ramli (hal ehwal ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (sumber asli dan kelestarian alam).
Kedua-duanya meletak jawatan selepas kalah pada pemilihan PKR, Mei lalu.
Portfolio hal ehwal ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani memangku portfolio sumber asli dan kelestarian alam.