Kerani kedai emas untung RM12,100 sebelum rugi RM2.65 juta

Kerani kedai emas untung RM12,100 sebelum rugi RM2.65 juta

Polis berkata mangsa mula terpedaya selepas diberikan pulangan RM12,100 hasil pelaburan RM100,000.

Scammer-Hacker
Ketua Polis Johor, M Kumar menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan dalam talian dan media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi.
PETALING JAYA:
Seorang kerani kedai emas kerugian RM2.65 juta akibat terpedaya pelaburan atas talian yang menjanjikan pulangan sehingga 9%.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata wanita 49 tahun itu mula terpedaya selepas diberikan pulangan RM12,100 hasil pelaburan RM100,000.

Katanya, mangsa berbuat demikian sebagai langkah percubaan dan sindiket licik menjerat mangsa untuk terus menambah pelaburan mereka.

“Pulangan diterima menyebabkan mangsa rasa yakin pelaburan tersebut betul dan boleh menjana keuntungan.

“Antara Oktober dan November lalu, mangsa mengikuti arahan suspek memasukkan wang berjumlah RM2,656,600 dari akaun bank miliknya dan pasangan ke beberapa akaun berlainan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan itu, sebaliknya diarah membuat pembayaran lain untuk mendapatkan wang keuntungan dan wang pokok dikembalikan.

“Mangsa syak ditipu dan membuat laporan di Batu Pahat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas polis menerima menerima laporan semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai lebih waspada dan tidak mudah terpedaya tawaran pelaburan dalam talian dan media sosial yang menjanjikan keuntungan mudah pada kadar tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.