
Beliau berkata, Perjanjian Tarif Timbal Balik Malaysia-AS membawa kepada pengurangan tarif daripada 25% kepada 19%, dengan 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion telah dimansuhkan.
“Sekiranya Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) ini tidak segera dimeterai, Malaysia berhadapan dengan risiko kerajaan AS akan menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal atau pada kadar yang jauh lebih tinggi-30%, 40%, 50% – atau mungkin 100%,” katanya dalam kenyataan menteri kepada Dewan Rakyat.
“Jika perjanjian ini tidak dimuktamadkan, besar kemungkinan kadar tarif akan menjadi lebih tinggi, sekali gus akan menjejaskan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS. Siapa yang akan menanggung beban ini nanti? Siapa yang akan menanggung rugi dan gulung tikar? Syarikat kita juga! Siapa yang akan kehilangan kerja dan punca pendapatan? Rakyat Malaysia juga.”
Beliau berkata, ketidaktentuan seperti itu juga akan menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap negara.
Dalam pada itu, Zafrul menegaskan semasa rundingan perjanjian berkenaan, negara tetap berpegang teguh pada ‘garis merah’, dan enggan berkompromi dalam perkara yang penting kepada maruah serta kawalan negara.
Katanya, pasukan perunding tidak langsung berganjak pendirian dalam perkara khususnya hak Bumiputera, dasar perolehan kerajaan dan tuntutan pembukaan/liberalisasi ekuiti sepenuhnya sektor-sektor strategik negara seperti tenaga dan telekomunikasi.
Zafrul menolak dakwaan kerajaan ‘jual negara’, sambil mencabar pengkritik menunjukkan walau satu klausa yang melepasi ‘garis merah’.
“Saya cabar mereka tunjuk satu klausa yang melanggar atau melepasi garis-garis merah ini. Satu pun tiada,” katanya.
Zafrul berkata, Malaysia boleh sahaja meminta terma perdagangan yang lebih baik dengan mengorbankan langkah perlindungannya, namun tindakan sedemikian akan mengkhianati kepentingan negara.
“kalau kita mahukan terma yang lebih baik, mudah sahaja, berikan semua perkara garis merah yang kita berusaha sedaya upaya lindungi selama ini.
“Walaupun begitu, jika kita bagi semuanya, tiada jaminan kita akan diberikan tarif lebih rendah,” katanya.