
Pelaburan itu dijangka menyumbang RM19.1 bilion kepada ekonomi Malaysia dalam dekad akan datang melalui pelaburan langsung dan impak ekonomi luas dalam infrastruktur, inovasi, tenaga kerja, pelajar serta komuniti.
Naib Canselor dan Presiden Monash University, Sharon Pickering dijadual mengumumkan pembangunan kampus baharu itu bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.
Universiti itu dalam kenyataan berkata, kampus baharu berkenaan dijangka dibuka pada 2032 dan mampu menampung sehingga 22,500 pelajar serta 1,700 kakitangan menjelang 2040, sekali gus melengkapi kampus sedia ada di Subang Jaya.
Lebih 35 program tambahan akan ditawarkan di kampus itu dalam bidang keutamaan penting kepada Malaysia dan tenaga kerja global masa depan, termasuk pendigitalan, kecerdasan buatan dan keselamatan siber, perubahan iklim dan kemampanan, penjagaan kesihatan dan kesihatan digital, semikonduktor serta pembuatan termaju, perbankan dan kewangan.
Albanese berkata, menonjolkan keunggulan sektor pendidikan tinggi Australia di peringkat antarabangsa dapat membuka peluang besar kepada pekerjaan dan pelaburan dari Australia.
“Namun, ia juga peluang penting memperkukuh hubungan mendalam di rantau ini dan seluruh dunia.
“Inilah yang kita dapat lihat daripada pelaburan Monash untuk kampus baharunya di Malaysia, apabila pelajar dapat menimba ilmu di satu daripada universiti terkemuka Australia di tengah-tengah Kuala Lumpur.”
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Azmar Talib, berkata kerjasama itu juga akan memperkukuh daya saing Malaysia dan pembangunan modal insan negara.
“Kerjasama kami dengan Monash University meningkatkan daya saing Malaysia serta kesalinghubungan dengan Asean melalui pembangunan tenaga kerja. Kampus bandar Monash University Malaysia ini akan memperkayakan komuniti pelbagai TRX dan melahirkan generasi baharu pemikir bertaraf global.”
Monash University bekerjasama rapat dengan rakan di seluruh Asena, termasuk kampusnya di Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina dan Brunei, sekali gus menyumbang kepada aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030.
Monash University merupakan institusi bertaraf global dengan jaringan kukuh di rantau Indo-Pasifik, menyatukan kampus dan komuniti melalui rangkaian hampir 60,000 alumni Asean.
Ditubuhkan pada 1998 sebagai kampus universiti asing pertama di Malaysia, Monash University Malaysia kini kampus antarabangsa terbesar dan paling berjaya universiti itu.
Pembangunan kampus baharu Kuala Lumpur tambahan kepada kampus Subang Jaya, dengan semua program dan perkhidmatan sedia ada diteruskan seperti biasa.
Komitmen kewangan ini dilaksanakan Monash University Malaysia berdasarkan kejayaannya hampir 30 tahun dengan sokongan Monash University Australia.
Daripada kumpulan pelajar pertama seramai 417 orang pada 1998, Monash University Malaysia kini mempunyai lebih 11,000 pelajar daripada lebih 80 negara, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap pendidikan universiti bertaraf 40 terbaik dunia.