
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Bersatu berdepan kesukaran menjalankan aktiviti, khasnya di peringkat akar umbi.
“Saya akan cari jalan menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.
Rina bekata, pelbagai pendekatan perlu diambil bagi menjana sumber kewangan, termasuk menggesa bahagian menceburi bidang keusahawanan, selain mengingatkan ahli bersama membantu parti.
“Saya juga mahu gerakkan bendahari peringkat negeri dan bahagian supaya kita dapat jana pendapatan dan ekonomi, sekurang-kurangnya untuk bahagian boleh bergerak sendiri.”
Semalam, Ketua Bersatu Bahagian Rompin, Abdul Khalib Abdullah mencadangkan seluruh bahagian dan jawatankuasa mula mengutip dana kerana akaun parti masih disita.
Tabung sumbangan diedarkan kepada perwakilan sejak bermulanya Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Jumaat lalu.
Dua akaun Bersatu dibekukan pada 12 dan 13 Jan 2023, sebelum disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 April tahun sama untuk tindakan lanjut.
SPRM memaklumkan sitaan dibuat selepas pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kepada pihak bank.