Sokong undang-undang ‘sharenting’, lindungi privasi anak

Sokong undang-undang ‘sharenting’, lindungi privasi anak

Goh Siu Lin berkata undang-undang itu mampu membuatkan ibu bapa benar-benar memahami bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi.

social media
Malaysia mempertimbang kemungkinan memperkenalkan undang-undang bagi melindungi hak kanak-kanak untuk privasi.
PETALING JAYA:
Seorang peguam keluarga dan kanak-kanak menyuarakan perlunya undang-undang ‘sharenting’ di Malaysia bagi mengekang ibu bapa daripada terlalu mengongsikan maklumat mengenai anak mereka, seterusnya melindungi privasi kanak-kanak dalam talian.

Goh Siu Lin berkata undang-undang seperti itu perlu memandangkan lambakan gambar, video dan maklumat peribadi kanak-kanak yang dikongsikan ibu bapa di domain awam, tambahan pula kurang pengetahuan atau kawalan terhadap tindakan mereka.

“Perkongsian kandungan seperti itu dengan orang umum melanggar privasi dan keselamatan kanak-kanak,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, undang-undang seperti itu juga boleh merangkumi datuk dan nenek atau penjaga kanak-kanak.

Minggu lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, kerajaan mempertimbangkan mewujudkan undang-undang “sharenting” seperti dilaksanakan di Perancis awal tahun ini.

‘Sharenting’ merujuk kepada amalan mengongsikan imej anak sendiri di rangkaian media sosial.

Undang-undang di Perancis yang diluluskan pada Februari, membolehkan mahkamah melarang ibu bapa daripada berkongsi gambar anak mereka dalam talian, dan jika perlu, memerlukan izin kanak-kanak ‘mengikut usia dan tahap kematangan mereka’ sebelum gambar mereka dikongsikan.

Nancy berkata undang-undang seperti itu diharapkan dapat mengutamakan privasi anak dan menghalang pesalah daripada menyalahgunakan bahan dikongsikan dalam talian.

Goh berkata Akta Kanak-kanak 2001 hanya melindungi butiran kanak-kanak dalam talian dari segi jenayah seksual selain prosiding mahkamah melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

Katanya, sudah tiba masa penggubal undang-undang di Malaysia mematuhi Perkara 16 Konvensyen Tentang Hak Kanak-kanak yang menyatakan hak kanak-kanak untuk privasi.

Goh berkata undang-undang sharenting’ mampu memacu peralihan dalam pemikiran ibu bapa supaya benar-benar memahami bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi.

Aktivis kanak-kanak yang juga pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin berkata, undang-undang ‘sharenting’ akan mengekang kecurian identiti, eksploitasi seksual, penghendap malah juga bahaya terhadap fizikal.

Bagaimanapun, katanya, isu seperti pelanggaran hak ibu bapa, cabaran penguatkuasaan di pelbagai platform media sosial, malah perbezaan budaya mengenai apa dianggap sesuai untuk dikongsikan kepada umum, juga mesti diambil kira ketika memperkenalkan undang-undang ‘sharenting’.

Hartini berkata ibu bapa sepatutnya mempunyai kesedaran sendiri ketika berkongsi sebarang perkara mengelak melanggar privasi anak, selain menjaga kesejahteraan mereka.

“Beberapa langkah termasuk menggunakan nama timangan untuk melindungi identiti sebenar anak, memadam metadata dan ‘geotagging’ untuk mengurangkan keupayaan menjejak kanak-kanak menerusi perkongsian gambar dalam talian, malah juga mendapatkan izin kanak-kanak (bergantung kepada usia mereka) sebelum berkongsi apa-apa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.