Garis panduan keselamatan sekolah baharu perlu telus, gesa aktivis

Garis panduan keselamatan sekolah baharu perlu telus, gesa aktivis

Mak Chee Kin berkata butiran garis panduan bagi memerangi pembulian di sekolah patut diumumkan supaya ibu bapa bersedia menjangka sebarang kemungkinan.

Garis panduan baharu bagi menangani pembulian di sekolah mencetuskan kebimbangan ibu bapa dan guru. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis pendidikan menggesa supaya butiran mengenai garis panduan keselamatan baharu bagi memerangi pembulian di sekolah patut diumumkan untuk meredakan kebimbangan umum.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata, butirannya patut diumumkan supaya ibu bapa bersedia menjangka sebarang kemungkinan.

Mak memberitahu FMT, memandangkan ibu bapa masih tidak mempunyai maklumat mengenai dasar baharu itu, ada yang bimbangkan isu seperti pelanggaran privasi dan stigma sosial yang mungkin berlaku akibat laporan yang tidak memberi gambaran baik terhadap pelajar tertentu.

Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad yang mendedahkan perancangan untuk garis panduan baharu itu bulan lalu berkata, ia akan menangani isu seperti pembulian, gangguan seksual dan keselamatan di sekolah.

Beberapa kes berprofil tinggi melibatkan buli di sekolah tahun lalu membangkitkan kebimbangan ibu bapa. Dalam satu kes di Selangor, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditikam mati, manakala di Sabah, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran bilik asrama dan meninggal dunia, didakwa akibat dibuli.

Antara lain, garis panduan yang masih dalam proses dimuktamadkan itu, memerlukan pelajar yang dipindahkan ke sekolah lain menyerahkan laporan kesihatan fizikal serta mental, selain rekod disiplin kepada sekolah baharu mereka.

Mak berkata, ibu bapa mungkin tidak mahu menghantar anak mereka untuk mendapatkan kaunseling sekiranya rekod itu perlu dikongsikan. Selain itu, tindakan ini juga berkemungkinan mengurangkan peluang pelajar dimasukkan ke sekolah pilihan mereka.

“Selain itu ibu bapa mungkin teragak-agak menghantar anak mereka untuk mendapatkan bantuan awal, atau terus mengelak melakukannya. Ini mungkin mengakibatkan kesihatan mental anak terbabit semakin meruncing,” katanya.

Katanya, ini akan menjadi kegagalan besar memandangkan bantuan awal patut digalakkan oleh sekolah-sekolah.

Dari segi privasi data, Mak menyoal sama ada maklumat seperti itu akan dihadkan kepada hanya segelintir guru.

“Sudah pasti ibu bapa tidak mahu satu dunia mengetahui anak mereka mempunyai masalah disiplin,” katanya.

Turut senada berkongsi pandangan itu, Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia Azizee Hasan yang menegaskan perlunya kerahsiaan bagi mengelak stigma berlaku.

Secara prinsipnya, Azizee bersetuju bahawa rekod kesihatan dan disiplin pelajar patut dikongsikan untuk membolehkan sekolah baharu mereka memantau pelajar berkenaan bagi memastikan keselamatan terjamin.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa guru-guru perlu lebih terlatih, manakala sekolah-sekolah mempunyai lebih banyak kaunselor bertauliah memandangkan kes disiplin dan kebajikan pelajar kini lebih rumit.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, memang ada dasar yang memerlukan pihak sekolah menyimpan fail peribadi pelajar, namun proses berkenaan tidak selalunya diuruskan dengan baik.

Setiausaha agungnya, Fauzi Singon memberitahu FMT, ada kes melibatkan pihak berkuasa sekolah ‘tidak mengendahkan atau gagal mempedulikan rekod seumpama itu,’ seterusnya mengakibatkan segelintir sekolah menolak permohonan pelajar yang mahu berpindah dari sekolah lain.

“Dasr baharu ini bererti semua sekolah mesti bertanggungjawab ke atas rekod seperti itu,” katanya.

Selain itu, Fauzi berkata walaupun guru tidak sepatutnya mendiagnos keadaan kesihatan mental, ada yang bimbang mereka pula akan dibebankan dengan lebih banyak kertas kerja dan data berkait rekod pelajar.

Katanya, guru tidak patut dibebankan dengan kerja perkeranian tambahan, sebaliknya tugas berkenaan patut ditangani pekerja sokongan sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.