Santa Claus mesra alam sebar kegembiraan dengan mainan terpakai

Santa Claus mesra alam sebar kegembiraan dengan mainan terpakai

Projek 'Gift of Light' dijayakan melalui tiga rakan kolaborasi bagi memastikan hadiah sampai ke tangan kanak-kanak yang memerlukan sempena Krismas.

Penghuni Persatuan Insan Istimewa Cheras Selangor menerima hadiah ‘Gift of Light’ sempena Krismas.
PETALING JAYA:
Hadiah tidak semestinya perlu baharu untuk menghadirkan senyuman.

Bagi sebahagian kanak-kanak dari rumah kebajikan anak yatim, golongan orang kurang upaya (OKU) dan yang terjejas akibat banjir, menerima hadiah sekalipun kecil sudah cukup untuk membuatkan mereka rasa dihargai.

Ada antara mereka yang kehilangan barangan peribadi ketika bencana, ada juga yang membesar tanpa pengalaman menerima hadiah semasa perayaan, apatah lagi dibungkus kemas dan khusus untuk mereka.

Lee Ching Hao
Lee Ching Hao.

Atas kesedaran ini, sekumpulan sukarelawan diketuai seorang pensyarah kejuruteraan mekanikal, Lee Ching Hao, menggerakkan projek ‘Gift of Light’ bagi memastikan kanak-kanak ini turut merasai kegembiraan Krismas.

Projek ‘Gift of Light’ mahu menyuntik kegembiraan dalam kehidupan kanak-kanak istimewa.

Dengan kerjasama Clean Technology Impact Lab di Taylor’s University, Zero Waste Earth Store (ZWES) dan Mercy Malaysia, projek julung kali ini berjaya mengumpulkan 322 mainan terpakai hasil sumbangan orang ramai.

“Mainan ini kemudiannya diagihkan kepada rumah kebajikan terpilih termasuk Persatuan Insan Istimewa Cheras Selangor dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak dan OKU Selangor, selain dihantar kepada mangsa banjir seperti di Kelantan,” kata Lee kepada FMT.

Berbanding membeli mainan baru, Lee menekankan mengitar semula mainan bagi memelihara kelestarian alam.

“Kalau kita beli, memang lebih mudah, tetapi ia akan memberi kesan buruk kepada bumi kerana setiap pembelian memerlukan pengeluaran yang menggunakan sumber alam,” katanya, yang memulakan projek ini sejak awal Nov.

Prinsip itu juga selari dengan pengalaman Lee sebelum ini, ketika beliau mengumpul hampir 95kg topeng muka terpakai pasca-Covid untuk tujuan penyelidikan dan pelupusan beretika.

Dengan pendekatan sama, mainan terpakai dikumpul, dibersihkan dan dibungkus rapi sebelum diagihkan, memastikan ia selamat untuk kegunaan kanak-kanak.

Tulang belakang logistik projek ini terletak pada ZWES, sebuah perusahaan sosial yang mempromosikan gaya hidup lestari, yang berperanan sebagai titik pengumpulan untuk semua sumbangan mainan daripada orang ramai.

Jaclynn Wong Yin Thing dan Dr Janira Kumari.

Pengasasnya, Jaclynn Wong Yin Thing dan Dr Janira Kumari, menjelaskan setiap barangan yang diterima perlu melepasi pemeriksaan kualiti. Barangan yang masih elok akan diluluskan untuk sumbangan, manakala yang tidak memenuhi syarat akan dikitar semula.

“Jika Lee adalah ‘Santa’, kami pula ‘elf’. Kami akan mengasingkan barangan mengikut kategori yang diperlukan seperti mainan, alat tulis, patung plushy, beg dan permainan papan.

“Mesej yang ingin kami sampaikan bukan sekadar menyumbang, tetapi juga mengenai penggunaan semula barangan supaya tidak berakhir di tapak pelupusan sampah yang semakin penuh,” kata Janira.

Menyedari tabiat berbelanja masyarakat kini yang terlalu mudah membeli barangan atas dasar kemahuan dan bukannya keperluan, Janira mencadangkan gaya hidup ‘sifar sisa’ berasaskan konsep rethink (fikir semula), repurpose (guna semula), recycle (kitar semula), dan rot (kompos).

Hafiz Amirrol
Hafiz Amirrol.

Sementara itu, Mercy Malaysia, yang membantu dalam pengagihan hadiah, menyambut baik inisiatif ini dan menyifatkannya sebagai usaha memperkukuhkan program kemanusiaan mereka di bawah Aktiviti Mesra Kanak-kanak (CFA).

Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Hafiz Amirrol, sumbangan ini berupaya menyokong operasi di pusat pemindahan sementara di negeri terjejas banjir, membolehkan penyediaan penjagaan dan sokongan kepada kanak-kanak dalam situasi kritikal.

Katanya, ia turut membantu mewujudkan persekitaran selamat dan menyeronokkan bagi kanak-kanak terjejas, memastikan keperluan mereka diutamakan serta menerima sokongan emosi dan praktikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.