GRS lebih berkesan atasi isu air berbanding Warisan, kata Armizan

GRS lebih berkesan atasi isu air berbanding Warisan, kata Armizan

Armizan Mohd Ali berkata kelewatan projek LRA Kogopon 2 bukti kelalaian Warisan ketika tadbir Sabah dari 2018-2020.

armizan ali empangan
Armizan Mohd Ali mengadakan lawatan ke projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar pada Mei 2024 untuk memantau kelancarannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Masalah tiga serangkai termasuk bekalan air yang diwarisi dari kerajaan negeri sebelum ini, diatasi dengan lebih berkesan di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Armizan Mohd Ali.

Armizan memberikan contoh kemajuan positif projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar yang ketika pentadbiran Warisan gagal disiapkan mengikut jadual pada 2022, menyebabkan rakyat di kawasan itu terjejas.

“Keutamaan mereka bukan pastikan projek telah dirancang berjalan tetapi bersekongkol membatal projek kerana politik dendam kesumat yang akhirnya menyusahkan rakyat,” katanya di Facebook.

Menurut Armizan, selepas menjadi Ahli Parlimen Papar pada November 2022, beliau bersama Adun Kawang Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Adun Limbahau Juil Nuatim bersama agensi kerajaan lain telah mencari penyelesaian untuk mempercepatkan projek terbabit.

Jelas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu, Papar memerlukan 93 juta liter sehari (JLH) namun kapasiti sedia ada hanya 63 JLH, iaitu kurang 30 JLH.

Tambah Armizan, projek meningkatkan kapasiti LRA Kogopon 2 telah disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) namun tidak siap mengikut jadual kerana kos meningkat selain pengeluaran Notis Perubahan (NOC) mengambil masa lama.

“Atas komitmen Ketua Menteri Hajiji Noor, projek ini disenaraikan sebagai keutamaan dalam mesyuarat khas pada Jun 2023 dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Arahan segera diberikan untuk memulakan proses perolehan projek LRA Kogopon 2.

“Projek berskala besar ini dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2026, saya mohon maaf kerana tidak ada lampu ajaib membolehkannya siap dalam masa singkat.

“Namun saya akan memantau secara berkala untuk memastikannya siap mengikut jadual,” katanya memaklumkan perkembangan projek itu kini 59.39%.

Armizan berkata Hajiji yang juga pengerusi GRS telah meluluskan pembinaan muka sauk di Kampung Kabang sebagai sumber alternatif jika kadar klorida air masin di Sungai Papar melebihi 120 mg/L sehingga loji terpaksa ditutup sementara.

Menurutnya, projek bermula 10 Mac itu dijangka siap awal 2026 dengan status kemajuan 36.92% setakat 25 Oktober.

“Pemimpin Warisan berkata dalam tempoh setahun berkuasa mereka boleh selesaikan isu rakyat, tapi masa berkuasa pada 2018 hingga 2020 mereka gagal.

“LRA Kogopon contoh kelalaian mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.