
Menterinya, Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan amat prihatin dan mengambil maklum isu itu dengan cuba memberikan bantuan, termasuk RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Saya mendengar dan turun padang sendiri serta berinteraksi dengan pihak berkaitan, termasuk pelajar.
“Saya difahamkan pihak UMS memerlukan bantuan tambahan, justeru kita menambah lagi RM2 juta menjadikan keseluruhannya RM5 juta,” katanya menurut Berita Harian selepas menyempurnakan Majlis Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Tawau.
Zambry berkata, beliau memahami masalah air dihadapi kerajaan Sabah dan berharap isu itu dapat diselesaikan melalui kerjasama kerajaan negeri dengan Putrajaya.
“…pada peringkat UMS tidak ada masalah, tetapi mungkin ada masalah teknikal lain, sama ada dari segi saluran atau jumlah kuantiti air melalui paip besar yang perlu disalurkan ke UMS.
“Pada peringkat KPT, kita telah cuba membantu termasuk melalui pembinaan tiub bawah tanah yang sudah berfungsi dengan baik.
“Saya tidak berniat atau berhasrat memberi komen terhadap mana-mana pihak atau terperangkap dalam polemik, kerana lebih mustahak adalah kebajikan penuntut UMS perlu diberi keutamaan.”