KPKT kaji wujud fasiliti kitar semula di pusat beli-belah

KPKT kaji wujud fasiliti kitar semula di pusat beli-belah

Menteri Nga Kor Ming berkata ia akan dipertimbangkan sebagai sebahagian syarat permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan bagi pusat membeli-belah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor dalam majlis apresiasi sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2024.
PUTRAJAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji kemungkinan untuk pusat membeli-belah mewujudkan pusat pandu lalu kitar semula (DTRC) atau fasiliti kitar semula.

Menteri Nga Kor Ming berkata, ia akan dipertimbangkan sebagai sebahagian syarat permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan bagi pusat membeli-belah.

“Mulai tahun depan, KPKT akan mengkaji keperluan ini supaya setiap pusat membeli-belah menyediakan kemudahan kitar semula seperti DTRC atau sekurang-kurangnya mempunyai fasiliti kitar semula sebagai salah satu syarat permohonan lesen,” katanya ketika berucap dalam majlis apresiasi sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2024.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 5,836 kemudahan kitar semula dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), dengan 153 DTRC diwujudkan di Malaysia.

Katanya, inisiatif itu mungkin tidak wujud tanpa sokongan pihak swasta mahupun orang awam yang memanfaatkan kemudahannya.

Dalam pada itu, Nga memaklumkan kadar kitar semula kebangsaan tahun ini meningkat kepada 37.9% berbanding 33.17% tahun lalu dengan jumlah barangan mencecah 5.4 juta tan.

Menurutnya, dengan pencapaian itu KPKT menyasarkan peningkatan kadar kitar semula kebangsaan kepada 40% menjelang 2025.

Sementara itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam kenyataan memaklumkan hingga Oktober lalu sebanyak 9.675 tan bersamaan RM4.5 juta barang kitar semula berjaya dikumpul dan dijual.

Katanya, ia hasil daripada program ‘Trash to Cash’ melibatkan komuniti, sekolah, tadika dan prasekolah.

“Matlamat program ini adalah untuk menyemarakkan semula kitar semula dan menyelamatkan sisa kitar semula daripada terus dibuang di samping dapat memberi pulangan atau pendapatan tambahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.