Pekerja kilang tuntut RM800,000 tunggakan, potongan gaji

Pekerja kilang tuntut RM800,000 tunggakan, potongan gaji

Seramai 57 pekerja bimbang tiga firma elektronik utama Jepun enggan lagi berurusan dengan Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd susulan dakwaan buruh paksa.

protest
Pekerja berkumpul di pekarangan kilang Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd di Klang.
PETALING JAYA:
Kira-kira 60 pekerja dari syarikat pembuatan plastik di Klang yang membekalkan komponen kepada tiga firma elektronik utama Jepun memfailkan laporan kepada Jabatan Buruh berkait bayaran gaji tidak dibayar dan potongan menyalahi undang-undang lebih RM800,000.

Dalam empat laporan berasingan difailkan di Jabatan Buruh Pelabuhan Klang, seramai 57 pekerja mendakwa syarikat itu, Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd, berhutang RM806,310 dalam gaji tidak dibayar dan pemotongan gaji tidak dibenarkan bagi pembayaran levi.

Pekerja terbabit yang sebelum ini melancarkan mogok menuntut gaji tidak dibayar berbulan-bulan, mendakwa dalam laporan itu bahawa syarikat berkenaan tidak membayar mereka sehingga enam bulan sejak Mei.

Pada September, Kawaguchi telah disiasat jabatan itu dengan terdapat bukti ketika serbuan 3 Sept bahawa syarikat tersebut tidak membauar lebih 200 pekerja Bangladesh sejak April, dan memegang pasport mereka.

Siasatan dibuat susulan aduan daripada aktivis hak pekerja, Andy Hall.

Gaji tidak dibayar, pemotongan gaji tidak dibenarkan, dan memegang pasport adalah melanggar undang-undang buruh Malaysia selain merupakan tiga daripada 11 penunjuk amalan buruh paksa, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Tiga firma elektronik utama Jepun yang mendapat bekalan dari Kawaguchi – Sony, Panasonic, dan Daikin – juga pada September berkata, mereka sedang meneliti pembayaran gaji tertangguh dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia berlaku di Kawaguchi.

Bulan lalu, Sony Group Corporation memberitahu Business and Human Rights Resource Centre (BHRCC), kumpulan pembela memantai pelanggaran hak asasi dalam perniagaan, bahawa audit terhadap Kawaguchi mendapati syarikat melanggar tatakelakuan rantaian bekalan.

Dalam kenyataan kepada BHRCC, Sony berkata, syarikat itu mempunyai peraturan ketat bekalan yang mengkehendaki pihak pembekal menghormati hak asasi pekerja.

Katanya, ia juga menghalang penggunaan buruh diperdagangkan dan secara paksa, termasuk merampas pasport atau mengutip yuran pengambilan.

“Kami telah meminta syarikat itu melaksanakan segera langkah pembetulan, termasuk pembayaran yang sesuai kepada pekerja, pengurusan waktu kerja yang betul, dan penambahbaikan kepada keadaan hidup asramanya,” kata Pengurus Besar Kanan Jabatan kelestarian Sony, Mitsu Shippee.

Pekerja Kawaguchi memberitahu FMT, mereka bimbang tiga syarikat Jepun berkenaan membuat keputusan menghentikan penyumberan dari Kawaguchi susulan dakwaan berterusan, sambil menyatakan mereka melihat acuan dan peralatan berkaitan dikeluarkan dari fasiliti Kawaguchi.

Dalam emel kepada Hall yang dilihat FMT, Daikin berkata, mereka difahamkan Sony dan Panasonic, yang mewakili majoriti transaksi dengan Kawaguchi, telah bertindak menggantung perniagaan dengan syarikat tersebut.

“Mengambil kira risiko perniagaan, kami mengambil keputusan bahawa kami tidak boleh meneruskan perniagaan dengan Kawaguchi lagi,” kata Daikin.

FMT telah menghubungi Jabatan Buruh untuk pengesahan sama ada sebarang tindakan undang-undang telah diambil terhadap Kawaguchi memandangkan dapatan siasatan pada September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.