
Beliau berkata, kerajaan tidak menetapkan garis masa khusus bagi menyelesaikan baki tuntutan memandangkan ia melibatkan isu perundangan yang kompleks hasil keputusan pimpinan terdahulu.
“Ia bukan perkara mudah kerana ia melibatkan sejarah penubuhan negara kita. Banyak perundangan telah dibuat di peringkat persekutuan dan juga peringkat negeri Sabah dan Sarawak.
“Disebabkan sejarah lama, ada perkara yang sepatutnya diberi hak kepada Sabah dan Sarawak masih tidak dilaksanakan, manakala ada juga hak mereka telah diambil alih oleh persekutuan sebelum ini.
“Jadi, kita nak meleraikan perkara yang telah disimpulkan dahulu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Dashboard Perjanjian MA63.
Fadillah berkata, baki tuntutan mungkin terpaksa memerlukan perundingan lebih rumit termasuk pindaan perlembagaan dan undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan tetap komited meneruskan usaha itu bagi memastikan keadilan wilayah Borneo selain memperkukuh jalinan kerjasama antara persekutuan dan negeri dalam keadaan harmoni.
Terdahulu, Fadillah melancarkan Dashboard MA63 – sebuah portal rujukan menyediakan perincian sejarah perjanjian itu termasuk Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta status terkini rundingan untuk akses masyarakat awam.
Beliau ketika berucap berkata, sebelum ini maklumat berkaitan pelaksanaan MA63 ‘berselerak’ di pelbagai platform termasuk media massa tanpa satu rujukan awam yang menyeluruh serta mudah diakses.
“Dengan ada Dashboard MA63, rakyat juga dapat melihat segala kegiatan berkaitan, berhubung kait Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta pelaporan berhubung kait dengan status perundingan bawah MA63,” katanya.
Pada 23 Okt lalu, Fadillah menyatakan 13 daripada 29 tuntutan MA63 dikategorikan selesai.