Kanak-kanak dibawa masuk dari Singapura diselamatkan di Kuantan

Kanak-kanak dibawa masuk dari Singapura diselamatkan di Kuantan

Polis berkata seorang kanak-kanak berumur 15 tahun berjaya diselamatkan hasil risikan dan maklumat orang awam.

Ketua Polis Johor M Kumar mengumumkan kejayaan polis selamatkan seorang kanak-kanak yang dipercayai dilarikan, hasil risikan dan maklumat orang awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak warga China dipercayai dilarikan oleh individu yang tidak dikenalpasti telah diselamatkan polis di Kuantan, Pahang dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas laporan dibuat.

“Kejayaan operasi ini hasil dari risikan polis dan juga maklumat dari orang awam,” menurut Ketua Polis Johor M Kumar dalam kenyataan.

Katanya, kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan 15 tahun itu dilaporkan tidak hadir ke sekolah di Singapura pada 25 Nov, sebelum dilaporkan hilang oleh bapanya.

Semakan awal mendapati kanak-kanak itu dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodlands pada 24 Nov.

Seorang suspek, iaitu lelaki warga China berumur 22 tahun, ditangkap di lokasi kanak-kanak itu diselamatkan.

“Mangsa akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” menurut kenyataan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak, Seksyen 48(2) Akta Kanak-kanak, dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan.

Majistret membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari, mulai hari ini sehingga 2 Dis.

“Motif kejadian masih disiasat,” menurut Kumar, yang meminta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi atau komen yang boleh ganggu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.