1,538 mangsa banjir di 3 negeri

1,538 mangsa banjir di 3 negeri

Jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 112 orang di lima PPS di Segamat.

pusat pemindahan pps
Seramai 1,343 mangsa banjir ditempatkan di 11 PPS Sarawak, manakala 83 orang berlindung di sebuah PPS di Raub, Pahang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Sarawak mencatatkan sedikit peningkatan, manakala Johor menurun dengan keseluruhan mangsa seramai 1,538 orang pagi ini.

Di Pahang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Ulu Atok di Raub meningkat kepada 83 orang daripada 17 keluarga berbanding 74 orang daripada 15 keluarga petang semalam.

Laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan bacaan paras air di stesen sungai utama di seluruh Pahang masih di bawah paras bahaya.

Di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,343 orang daripada 342 keluarga setakat 7 pagi tadi berbanding 1,320 orang daripada 338 keluarga malam tadi.

Peningkatan mangsa direkodkan di PPS Masjid Darul Istiqlaal, Kuching dan PPS SJKC Chung Hwa, Lawas.

Jumlah mangsa di sembilan lagi PPS kekal, iaitu Dewan Masyarakat Stapok, Dewan R, Piang Kampung Sinar Budi Baru, Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu, Dewan Surau Nurul Najhin Stapok, Dewan Serbaguna Taman Malihah, SJK Chung Hua Sungai Tengah, SJK Chung Hua Batu Kawa, Dewan Suarah Kota Samarahan dan Dewan Masyarakat Trusan.

Di Johor, Pengerusi JPBN, Asman Shah Abd Rahman, berkata 112 orang daripada 31 keluarga masih ditempatkan di lima PPS di Segamat, menurun berbanding 134 orang daripada 36 keluarga semalam.

PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 40 orang daripada 12 keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (18 orang, lima keluarga), Balai Raya Kampung Sanglang (14 orang, empat keluarga), Balai Raya Kuala Paya (23 orang, lima keluarga) dan Dewan Serbaguna Kampung Tandong (17 orang, lima keluarga).

“Setakat pagi ini, tiada amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi, namun Segamat dilaporkan hujan, manakala Johor Bahru dan Mersing mendung.”

Beliau berkata, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras bahaya dengan bacaan 8.53m, manakala Sungai Tekam di Jeti Sungai Tekam mencecah paras amaran dengan bacaan 3.99m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.