

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata walaupun pengerusi Barisan Nasional (BN) berhak bersuara namun ia tidak memberi sebarang ‘khasiat’ atau kesan kepada rakyat.
“Bagaimanapun kenyataan itu tidaklah juga boleh menakutkan pelabur akibat ketidakstabilan politik, ini kerana setiap negara besar mempunyai penganalisis politik untuk melihat kedudukan sesebuah pentadbiran sebelum melabur.
“Kenyataan beliau itu juga tidak menggugat kestabilan politik kerana kerajaan perpaduan masih utuh,” katanya kepada FMT.
Ahad lalu, Zahid yang juga presiden Umno mendedahkan wujud usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan Anwar yang berusia dua tahun pada bulan ini.
Tanpa mendedahkan identiti pihak terbabit, beliau mendakwa, BN turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju.
Menurut Zahid, beliau bagaimanapun menolak pujukan itu kerana enggan mengkhianati kerjasama menerusi kerajaan perpaduan.
Semalam, FMT melaporkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) menafikan mempunyai kaitan dengan perkara berkenaan.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan pula berkata tujuan Zahid mengeluarkan kenyataan lebih kepada ingatan yang pembangkang akan berusaha ‘tidak menstabilkan pemerintahan negara’.
“Tak semestinya BN keluar dan kerajaan perpaduan runtuh serta merta kerana Anwar masih memiliki majoriti mudah,” katanya.

Bagi Syaza Shukri yang juga penganalisis politik dari UIAM, masalah sebenar adalah pembangkang yang ada kalanya membangkitkan isu untuk menjatuhkan kerajaan sebelum penggal pemerintahan tamat.
“Bagi saya ‘don’t shoot the messenger’ kerana Zahid cuma beritahu ada usaha pujuk BN tinggalkan kerajaan perpaduan.
“Mengapa pembangkang masih cakap pasal tukar kerajaan di depan atau belakang tabir, buat kerja sebagai pembangkang dan berusaha menang PRU16…dua atau tiga tahun tak lama,” katanya.