‘UEC tak halang integrasi, perpaduan nasional’, Gerakan beritahu Razman

‘UEC tak halang integrasi, perpaduan nasional’, Gerakan beritahu Razman

Dominic Lau berkata perkara berkaitan sistem pendidikan negara tidak harus dipolitikkan.

Dominic Lau berkata Gerakan menolak kenyataan Razman Zakaria bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjadi penghalang integrasi dan perpaduan nasional.
KUALA LUMPUR:
Gerakan menolak kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjadi penghalang integrasi dan perpaduan nasional.

Presiden Gerakan Dominic menegaskan perkara berkaitan sistem pendidikan negara termasuk UEC tidak harus dipolitikkan oleh sesiapa sahaja.

“Gerakan mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi garis panduan yang kita rujuk, bagi kami UEC bukan halangan (integrasi dan perpaduan nasional).

“Tak betul juga hendak mengatakan pelajar ada sijil UEC dan ke sekolah vernakular tak fasih bahasa Melayu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Gerakan ke-52.

Dalam catatan di Facebook semalam, Razman yang juga ketua pembangkang DUN Perak dan Adun Gunong Semanggol berkata mustahil untuk Malaysia menuju ke arah integrasi nasional sekiranya UEC diberi tempat atau pengiktirafan di Malaysia.

Dalam wawancara bersama sebuah portal baru-baru ini, Razman turut dilapor melahirkan kebimbangan terhadap pengiktirafan UEC selain program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Dakwanya, dua program itu dilihat memberi ancaman kepada ‘penguasaan Melayu’ selain menjadi pihak tertentu untuk membolehkan masyarakat bukan Melayu memperoleh kekuasaan tidak sepatutnya di Malaysia.

Semalam, pemimpin Bersatu Azmin Ali menegaskan isu pengiktirafan UEC tidak harus dipolitikkan mahupun dipersulitkan.

Malah Adun Hulu Kelang itu berkata beliau sendiri tidak teragak-agak memberi pengiktirafan kepadanya ketika menjadi menteri besar Selangor.

Beliau merujuk keputusannya yang menjadikan sijil itu diterima untuk kemasukan ke Universiti Selangor (Unisel).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.