
Bagaimanapun, tertuduh, Amier Amzar Akbarudin, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir, menurut Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memindah dan melupuskan wang tunai bernilai RM1.24 juta dan cek berjumlah RM110,000 hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun bank miliknya serta akaun bank milik tujuh lelaki berbeza berusia 32 hingga 67 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Subang Jaya antara 4 Februari hingga 6 April 2017.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah menipu seorang lelaki berusia 44 tahun untuk membeli tiga kenderaan import iaitu Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi R8 yang mendorong lelaki itu membuat bayaran berjumlah RM1.45 juta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Afendi mencadangkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.
Manakala Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen pula mencadangkan jaminan RM50,000 bagi pertuduhan penipuan pembelian kenderaan mewah.
Pihak pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di balai polis berhampiran tempat tinggalnya.
Bagaimanapun, peguam S Sathya yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penyara tunggal keluarga selain isteri tidak bekerja dan mempunyai dua anak.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM200,000 bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram dan RM25,000 bagi penipuan pembelian kenderaan mewah serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 14 Jan depan.