Polis minta SKMM kesan individu ugut pemberi maklumat video rasuah Adun

Polis minta SKMM kesan individu ugut pemberi maklumat video rasuah Adun

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya sudah mengambil keterangan mangsa.

Razarudin Husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ugutan itu dibuat menerusi satu panggilan telefon di platform WhatsApp menggunakan nombor negara lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesan individu mengugut pemberi maklumat dalam video rasuah mengaitkan beberapa Adun di sebuah negeri.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata ugutan itu dibuat menerusi satu panggilan telefon di platform WhatsApp menggunakan nombor dari negara lain.

“Kami sudah maklumkan pada SKMM dan akan bekerjasama rapat dengan mereka bagi mengesan pemilik nombor telefon asing berkenaan.

“Buat masa ini, mangsa sudah dirakam keterangan dan polis akan merakam keterangan saksi berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, pemberi maklumat skandal rasuah mengaitkan beberapa Adun di sebuah negeri mendakwa diugut bunuh, termasuk menerima dua gambar pistol dan orang ditembak menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Katanya, seorang lelaki mendakwa daripada kumpulan pembunuh upahan menghubungi mangsa 36 tahun yang juga kontraktor pembinaan pada 11.06 malam selama 16 saat.

“Suspek mendakwa menerima arahan untuk membunuh mangsa dalam tempoh 24 jam, jika dia enggan menutup mulut berkaitan isu rasuah terbabit.”

Sebelum ini, pemberi maklumat dilapor memberikan lapan video kepada Malaysiakini mengaitkan seorang ahli perniagaan dengan beberapa Adun didakwa membincangkan rasuah ratusan ribu ringgit untuk mereka sebagai balasan mendapatkan projek di sebuah negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.