Kastam rampas rokok putih guna setem cukai palsu RM4.2 juta

Kastam rampas rokok putih guna setem cukai palsu RM4.2 juta

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata ia dirampas di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dan beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

cigarette
Sindiket menggunakan modus operandi menghantar rokok putih itu secara kargo. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas lebih 6.2 juta batang rokok putih dengan setem cukai palsu dianggarkan bernilai RM4.2 juta di dua lokasi berasingan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata dua rampasan rokok putih bernilai RM696,564 itu dilakukan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, dan beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

Katanya, menerusi operasi pertama pada 4 Nov lalu, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu JKDM Kelantan dibantu Container Control Unit Pelabuhan Klang, Selangor
bertindak atas maklumat awam sebelum menahan sebuah kontena.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan pada kontena itu menemui 600 peti rokok putih atau enam juta batang rokok yang dipercayai untuk diimport ke pasaran Sri Lanka.

“Modus operandi adalah mengikrar dagangan dalam Bill of Lading (BL) dengan maklumat Port of Discharge di Pelabuhan Klang serta menggunakan perkhidmatan penghantaran secara kargo.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu hari ini, menurut Berita Harian.

Dalam rampasan kedua pada 10 Nov lalu pula, Wan Jamal berkata pihaknya menahan tiga van di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua van terbabit membawa peti rokok putih berjumlah 254,800 batang dengan nilai RM36,564 yang disyaki menggunakan setem cukai palsu.

“Modus operandi adalah menggunakan setem cukai palsu bagi mengelak penipuan terhadap apa-apa duti atau larangan ke atasnya dan rokok putih berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar melalui jalan darat menggunakan lori untuk pasaran Pantai Timur khususnya Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu van yang berusia di antara 30 hingga 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.