
Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata melalui usaha risikan yang berkesan, pihaknya juga berjaya menyerbu 19 makmal dadah haram dengan penangkapan 52 individu serta empat ahli kimia.
“Berdasarkan operasi tersebut, dadah dan racun seberat 215 tan telah berjaya dirampas dengan nilai pasaran gelap dianggarkan bernilai RM3.1 bilion,” katanya dalam sidang media IPK Kuala Lumpur.
Tambahnya, sebanyak 234,567 kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952 yang melibatkan tangkapan seramai 255,248 orang.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 157,648 kes iaitu 67% telah dituduh di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, antara kejayaan terbesar pihak polis pada tahun ini juga ialah rampasan 590 kg methamphetamine dan heroin base bernilai RM24.9 juta dalam Op Gombe pada April lalu.
Manakala dalam Op Borzoi pada Januari pula katanya, ia menyaksikan sejumlah 33,200 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion dirampas hasil kerjasama dengan Polis Persekutuan Australia.
“Kita dapati tiga modus operandi utama yang digunakan sindiket ialah transit di perairan laut dalam menggunakan bot nelayan, penggunaan ‘drug mules’ yang direkrut melalui media sosial serta penyalahgunaan perkhidmatan kontena kargo antarabangsa.
“Statistik rampasan ini bukan sahaja mencerminkan besarnya ancaman dadah, tetapi juga membuktikan ketegasan polis dalam mematahkan setiap cubaan menyeludup, mengedar dan penyalahgunaan dadah.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa risikan yang berterusan, tindakan penguatkuasaan yang tegas dan sokongan padu masyarakat merupakan kombinasi yang paling berkesan dalam melumpuhkan rangkaian sindiket dadah, tidak kira di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, JSJN juga berjaya melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket apabila menyita aset bernilai RM141 juta serta melucuthakkan RM29 juta bagi menghalang keuntungan haram digunakan semula untuk aktiviti jenayah.
“Dalam tempoh sama, seramai 808 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket serta menghalang mereka daripada kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya.