
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata kejayaan itu hasil siri serbuan dilancarkan pada 16 Dis lalu, membawa penahanan enam individu terdiri tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 24 hingga 39 tahun.
Katanya, suspek pertama berperanan sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ‘ahli kimia’.
“Suspek keempat dan keenam merupakan orang kepercayaan suspek pertama yang berperanan menguruskan rumah kediaman dan premis perniagaan dijadikan sebagai makmal haram memproses dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak April lalu dan menggunakan rumah kediaman serta premis perniagaan sebagai makmal memproses dadah untuk pasaran antarabangsa.
Katanya, secara keseluruhan JSJN merampas 3kg MDMA, 4,041kg kokain dan 14,493kg ketamin dianggarkan mampu ‘merosakkan’ seramai 68.5 juta pengguna.
“Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari bermula 17 hingga 23 Dis bagi membantu siasatan, manakala ujian saringan awal mendapati beberapa suspek positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita lima kenderaan termasuk kereta, forklift dan sebuah lori dengan nilai sitaan berjumlah RM389,000 bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kejayaan ini hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat pengedaran dadah. Memiliki atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.