2 beradik ditahan, guna senjata api buatan sendiri kutip hutang along

2 beradik ditahan, guna senjata api buatan sendiri kutip hutang along

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata suspek menggunakan senjata api dan pistol tiruan bagi menakut-nakutkan penghutang.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat (dua kanan) menunjukkan senjata api buatan sendiri dan tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua beradik kerana disyaki menggunakan senjata api buatan sendiri untuk kegiatan mengutip hutang bagi pihak sindiket pinjaman wang haram atau along

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek lelaki berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok semalam, lapor Bernama.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun yang merupakan adik-beradik.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu laras senapang buatan sendiri, dua pucuk pistol buatan sendiri, dua pucuk pistol tiruan, dua kelopak peluru, satu sarung pistol serta 27 biji ‘caliber powder ramset’,” katanya.

Yusoff berkata turut dirampas ialah sebuah motosikal dan tiga telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan kutipan hutang itu.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengambil upah sebagai pengutip hutang untuk sindiket along di Kelantan dengan menggunakan senjata api dan pistol tiruan bagi menakut-nakutkan penghutang.

“Setakat ini, polis menerima sekurang-kurangnya lima pengakuan awal membabitkan lima kes kutipan hutang along, dengan anggaran hasil kutipan mencecah RM200,000 sejak Okt 2025,” katanya.

Menurutnya kegiatan itu lebih tertumpu di Bachok dan suspek akan menerima upah daripada mana-mana Along yang mendapatkan khidmat mereka.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah serta narkotik,” katanya.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.