
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Norliza Abdul Rahim, berkata pencapaian itu amat membanggakan dan terbukti program tersebut berimpak tinggi untuk menggalakkan amalan menabung.
“Saya difahamkan BMS 2025 yang telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan BMS 2025 bermula 26 Sept hingga 29 Okt lepas, kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM222.29 juta, iaitu pencapaian 101.04% berbanding sasaran kutipan sebanyak RM220 juta,” katanya dalam kenyataan sempena penutup BMS 2025.
Tambahnya, pihaknya kekal optimis jumlah kutipan deposit sempena BMS 2025 yang bakal berakhir esok akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi lebih membanggakan.
Bertemakan Pengembaraan (Adventures) dan mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, penganjuran BMS 2025 mendapat sambutan amat menggalakkan dan pelbagai reaksi positif orang ramai yang hadir sepanjang ia berlangsung.
“Tema ini amat bertepatan kerana kehidupan dan pendidikan anak-anak adalah sebuah pengembaraan yang penuh cabaran dan penemuan baharu.
“Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Jenga Family Competition, Memory Challenge, Kotak Misteri, Kuiz Online dan Sembang BMS.
Orang ramai juga boleh berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
Menurut Norliza, pihaknya bersama Bank Islam turut memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN yang membolehkan pelanggan menikmati ‘cashback’ apabila menggunakan kad tersebut untuk pembelian runcit dan atas talian dalam transaksi domestik serta luar negara.
“Menariknya, pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad ini turut berpeluang menikmati cashback.
“Cashback yang diterima boleh dipindahkan ke akaun Simpan SSPN sebagai simpanan atau akaun pinjaman sebagai bayaran balik,” katanya sambil menambah kad tersebut boleh diintegrasikan dengan SSPN Prime bagi memudahkan urusniaga ATM termasuk pindahan.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2025 dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.
Program BMS 2025 merupakan tahun kelapan penganjurannya sejak tahun 2018, bagi menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Okt setiap tahun.