
Pembekuan tersebut susulan siasatan SPRM terhadap pasangan suami isteri, Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar, berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan,” menurut sumber, lapor Bernama.
Terdahulu, SPRM dilaporkan mengambil beberapa dokumen dalam serbuan serentak pada Isnin di Kementerian Kewangan, Khazanah dan FashionValet untuk membantu siasatan.
Selain itu, SPRM juga merakam keterangan beberapa individu penting seperti pegawai kanan Khazanah, PNB dan FashionValet termasuk pengasasnya serta akauntan dan penilai syarikat.
Turut dilaporkan hari ini bahawa suruhanjaya itu menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dianggarkan bernilai RM200,000 dalam pemeriksaan di kediaman pengasas bersama FashionValet itu.
Menurut sumber, penggeledahan bermula 5.30 petang sehingga 8 malam membabitkan 12 pegawai SPRM yang turut disertai peguam pasangan itu,
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pembekuan akaun dan pembongkaran tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, pasangan tersebut akan hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM pada 10 pagi esok untuk menyambung proses merakam keterangan.