
Sumber berkata penggeledahan bermula 5.30 petang sehingga 8 malam itu membabitkan 12 pegawai SPRM yang turut disertai peguam pasangan berkenaan, lapor BH.
“Antara barangan disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pembongkaran terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, pasangan terbabit akan hadir lagi ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk menyambung keterangan.
Sabtu lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta dialami Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet.
Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat 28 Okt lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.