Radzi seru ahli fokus kukuh Bersatu di sebalik kontroversi pemilihan

Radzi seru ahli fokus kukuh Bersatu di sebalik kontroversi pemilihan

Radzi Jidin yang kekal naib presiden berkata kepimpinan baharu akan cuba sebaik mungkin mengembalikan dan menambah kekuatan Bersatu.

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin seru ahli ‘fokus ke depan’.
PETALING JAYA:
Radzi Jidin menyeru ahli supaya fokus pada usaha mengukuhkan parti, selepas Bersatu melepasi pemilihan yang dipalit kontroversi.

Di sebalik desas-desus pemilihan kali ini pertembungan antara kem dua pemimpin Bersatu, selain dakwaan ada percaturan supaya individu tertentu diangkat sebagai pemenang, Radzi menegaskan ahli mesti fokus pada perjuangan.

“Dalam perjuangan perlu fokus ke depan…kita kena pastikan parti lebih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis umum keputusan di ibu pejabat Bersatu.

Radzi berjaya mempertahankan jawatan naib presiden dalam pertandingan enam penjuru.

Mengulas beberapa ahli Bersatu bahagian keluar parti baru-baru ini, Radzi berkata barisan kepimpinan baharu akan turun padang untuk ‘mengembalikan kekuatan’.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan kita sebelum pemilihan ini dan menambah kekuatan kita selepas pemilihan ini,” katanya.

Semalam, Bersatu Tenggara didakwa terbubar serta-merta susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya, termasuk 15 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu keluar parti.

Bekas ketua bahagian itu, Hassan Rasid, berkata keputusan dibuat kerana mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti, selain tidak telus melaksanakan tanggungjawab.

Ia menyusuli tindakan bekas bendahari Bersatu Pahang Roslan Hassan yang mengumumkan keluar parti bersama 40 ahli lain atas alasan sama pada Jumaat lalu.

Penganalisis berpandangan rasa tidak puas hati mula wujud apabila jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.