
Dalam tulisannya di ruangan ‘Merentas Ruang’ di Sinar Harian, bekas menteri luar negeri berkata ada pelbagai salah tanggapan sering dimanipulasi pihak tertentu.
Katanya, ia termasuk menganggap sesuatu keputusan sebagai muktamad, menekan suara akar umbi dan mencipta drama untuk mempengaruhi keputusan.
“Undang-undang hendaklah adil, dilaksanakan dengan adil dan kelihatan dilaksanakan dengan adil,” katanya dalam tulisan disiarkan pada 19 Sept lalu.
Saifuddin turut menegur segelintir pemimpin yang enggan berundur walaupun wujud keperluan peralihan kuasa yang lebih baik demi masa depan organisasi.
Ahli Parlimen Indera Mahkota memberi contoh sejarah Khalid al-Walid yang digantikan Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai panglima perang, sambil menekankan kepentingan meneliti masa dan keadaan supaya organisasi tidak tergadai.
Beliau turut menambah terlalu ramai masih berpegang pada nostalgia silam sedangkan rakyat menuntut pembaharuan.
“Ada pihak leka hidup dalam kegemilangan masa lalu. Tetapi rakyat mengharapkan tawaran baharu dan segar.
“Dengan menangani semua kekeliruan ini, teruskanlah menegakkan budaya politik matang, iaitu politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti,” katanya.
Dalam tulisan bertarikh 12 Sept pula, Saifuddin menekankan politik boleh menjadi wadah perjuangan untuk memenuhi tuntutan agama dengan menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Katanya, islah atau pembaharuan dizahirkan melalui pemikiran, gagasan dan gerakan yang dalam konteks semasa, dicadangkan ‘reset politik’ oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, bagi mengatasi masalah rakyat.
“Reset ini bagi menzahirkan Konsensus Nasional Baru dan Pembetulan Struktural Ekonomi. Gagasan ini adalah tonggak utama tawaran segar untuk rakyat.
“Ia dapat direalisasikan antaranya melalui penghayatan politik baharu, yang harus bermula dengan menangani kekeliruan dalam berpolitik,” katanya.
Menurut Saifuddin, kekeliruan dalam berpolitik sering tercetus kerana pemimpin enggan berundur walaupun tidak lagi memiliki kekuatan seperti dahulu, atau kerana hanya mendengar pendapat kelompok kecil dan mengabaikan suara majoriti.
Beliau turut menegaskan kepentingan dakwah politik berhikmah dengan mengingatkan ayat al-Quran: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik” (an-Nahl: 125).